Tuesday, April 2, 2019

ERTI SEBENAR SEBUAH PERKAHWINAN


          Hidup berpasangan adalah fitrah semula jadi alam dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang malam, pasang surut dan sebagainya lagi. Begitulah juga halnya dengan manusia. Perkahwinan adalah institusi yang menemukan pasangan dan rakan kongsi hidup yang sehati dan sejiwa untuk sama-sama mengharungi segala suka dan duka erti kehidupan.
          Alam perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah bagi mereka yang telah mendirikan rumah tangga dan bukannya satu pengakhiran bahagia, tetapi ia sebenarnya kehidupan yang baru bermula. Perkahwinan adalah pembuka realiti kehidupan. Seperti pengalaman saya yang telah mendirikan rumah tangga hampir tiga tahun pelbagai dugaan dan cabaran yang telah saya dan isteri tempuhi. Seorang suami haruslah memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga dan isteri pula sebagai tulang belakang kepada suami bagi membina keluarga yang bahagia. 

          Disamping itu juga, sikap sabar, tolak ansur dan saling memahami haruslah dimiliki oleh pasangan suami isteri dalam membina rumah tangga bahagia, ini kerana jika perkara ini tidak diterapkan boleh menyebabkan pergaduhan besar, masalah dalam keluarga  dan punca penceraian. Tidak mustahil hampir keseluruhan institusi keluarga pada masa kini berlaku pergaduhan seperti kata pepatah 'Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri'. Jadi sebelum memasuki alam perkahwinan seseorang itu perlulah mencari ilmu yang lebih mendalam bagi membina keluarga bahagia. Bukan itu sahaja, jodoh pertemuan di tangan Allah, sekiranya Allah telah tentukan seseorang itu jodoh kita, perlulah kita menjaganya sebaik mungkin dan sentiasa membawa ke arah kebaikan bagi mencapai kebahagian di dunia dan akhirat. 
          Perkahwinan juga perlu untuk tujuan memperluaskan lagi hubungan kekeluargaan diantara keluarga lelaki dan perempuan. Dengan perkahwinan, ia  juga mampu mengembangkan lagi masyarakat dengan zuriat dan keturunan yang soleh. Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga. Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu. Ia dinyatakan dalam firman Allah  SWT yang bermaksud: “Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur, ayat 32) Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment

PENGALAMAN PENGAJIAN JARAK JAUH

          Pengajian jarak jauh atau (PJJ) merupakan satu pengajian yang dijalankan secara sambilan atau separuh masa. Ini kerana seseorang ...